Saksikan drama bersiri terbaharu 'Diagnosis Cinta' yang bakal disiarkan mulai 1 Ogos ini, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 6.45 petang di TV1 dan RTMKlik. Drama ini membawa penonton menyelami realiti dunia perubatan di hospital yang penuh dengan cabaran, kemanusiaan dan harapan. Setiap episod memaparkan dilema serta pengorbanan yang terpaksa ditempuh oleh para petugas dan pesakit dalam berdepan keputusan yang melibatkan hidup dan mati.
Diagnosis Cinta Episod: 13 Tarikh Tayangan: 1 Ogos 2026 Waktu Siaran: Jumaat - Ahad, 6:45 petang Rangkaian: TV1 / RTMKlik Penulis Skrip: Zaini Kosnin Pengarah: Khairul Anuar (Warna) Produksi: AYS Protection Sdn Bhd
Barisan Pelakon
- Syafi Tee sebagai Dr. Zane
- Raden Zaharatul sebagai Dr. Maira
- Azri Safix sebagai Dr. Aidan
- Faizul Syaharin sebagai Prof. Farhan
- Jue Aziz sebagai Prof. Sofia
- Anita Permata Sari sebagai Jamilah
- Muiz Karim sebagai Herman
- Mejelyna sebagai Dr Reena
- Nizam Kama sebagai Doktor Haris
- Arnie Shasha
Sinopsis Pertemuan semula Dr. Maira dan Dr. Zane menghidupkan kembali kisah cinta yang sebenarnya tidak pernah selesai, sementara rahsia keluarga, dilema etika perubatan, persaingan profesional dan trauma silam turut menguji setiap keputusan yang perlu mereka buat.
Dr. Maira baru sahaja memulakan latihan sebagai pelatih pakar onkologi apabila dia terkejut dengan kemunculan semula Dr. Zane — lelaki yang pernah mematahkan hatinya. Ketika mereka sama-sama berdepan pelbagai kes pesakit kanser, hubungan profesional mereka menjadi semakin kusut apabila terbongkar rahsia bahawa Wanie, seorang pesakit remaja, sebenarnya adalah adik tiri Zane yang pernah ditinggalkan bersama ibu kandung mereka suatu ketika dahulu. Trauma lama, rasa bersalah dan konflik keluarga mula menggugat fokus Zane, manakala Maira pula semakin memahami luka yang selama ini disembunyikan oleh Zane.
Kehadiran Aris, seorang kanak-kanak yang disahkan menghidap leukemia, menjadi ujian besar kepada kecekapan dan nilai kemanusiaan seluruh pasukan perubatan. Timbul perdebatan antara kaedah rawatan konvensional dengan kajian klinikal eksperimental yang dicadangkan oleh Prof. Sofia, sehingga mencetuskan konflik etika dalam kalangan pihak hospital. Pada masa yang sama, hubungan Zane dan Maira semakin renggang setelah kisah silam mereka mula terbongkar, manakala persaingan kuasa antara Prof. Sofia dan Prof. Farhan turut memuncak dengan kemasukan seorang pesakit VIP, Dato' Shah.
Desakan Dato' Shah agar Prof. Farhan kembali menjalankan pembedahan memaksanya berdepan trauma terbesar yang selama ini menghantui kerjayanya. Dalam pada itu, Reena pula mendapat tahu rahsia yang selama ini disorokkan oleh Farhan, sementara Aidan akhirnya berani meluahkan segala rasa kecewa terhadap ayahnya sendiri.
Selepas melalui saat-saat mencemaskan sepanjang pembedahan, setiap watak mula berdamai dengan masa lalu masing-masing. Adakah Zane akhirnya sanggup memaafkan ibunya? Dan bagaimana pula nasib hubungan antara Zane dan Maira selepas semua yang mereka lalui?

Posting Komentar