Filem Mojoku Hilang! hadir sebagai sebuah karya romantik komedi yang memadukan unsur cinta, harapan, pengorbanan serta gambaran sebenar kekuatan semangat kejiranan di kampung yang sentiasa bersatu padu. Realiti ini menjadi cerminan zaman kini yang kian berubah, di mana nilai kebersamaan tidak lagi sekukuh dahulu.
Untuk mengimbangi nada emosi dalam jalan cerita, naskhah yang jujur ini diperkukuh dengan sentuhan humor daripada setiap watak, termasuklah watak ikonik Mojo — seekor lembu yang digambarkan sebagai pempengaruh terkenal yang menjadi mangsa penculikan.
Filem ini diarahkan oleh Min Lim dan diterbitkan oleh Double Vision, dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films. Ia menampilkan gandingan buat pertama kali antara Mimi Lana (Polong, Mencari Ramlee, The Experts) dan bintang dari Indonesia, Adipati Dolken (Sang Kiai, Posesif, Teman Tapi Menikah).
Jangan lepaskan peluang menonton Mojoku Hilang! di pawagam seluruh negara mulai 23 Julai 2026.
Mojoku Hilang! Genre: Romantik Komedi Tarikh Tayangan: 23 Julai 2026 Cerita Asal: Min Lim Skrip: Honey Ahmad, Amsalan Doraisingam, Chi-ren Choong Pengarah: Min Lim Produksi: Double Vision Sdn Bhd Dengan Kerjasama: Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories, Argo Films
Barisan Pelakon
- Adipati Dolken sebagai Adi
- Mimi Lana sebagai Ayu
- WAN Hanafi Su sebagai Atan
- Namron sebagai Jusoh
- Aziz M. Osman sebagai Sani
- Farah Ahmad sebagai Bibah
- Dato A. Tamimi Serigar sebagai Hassan
- Gambit Saifullah sebagai Pian
- Tony Eusoff sebagai Dato'
- Haeriyanto Hassan sebagai Daud
- Seha Monica sebagai Midah
- Ayu Azlina sebagai Nab
- Atilia Haron sebagai Dangdut Diva
- Alif Satar And The Locos sebagai watak mereka sendiri
Lagu Tema (OST) Lagu: Inikah Cinta — Persembahan Alif Satar & The Locos, digubah oleh Daniel Saba, diaransemen oleh Tam Cobain Lagu: Mulanya Disini — Persembahan Mimi Lana, digubah oleh Syed Haron Ahmad dan Royston Santa Maria, diaransemen oleh SAM Anderson
Sinopsis Sebuah kampung di Perlis nekad "menculik" seekor lembu viral bagi menyekat pengambilalihan korporat terhadap tanah mereka, memaksa pengurus yang penuh muslihat, Adi, untuk menyamar masuk ke kampung tersebut. Berselindung di sebalik hasrat mahu menikmati ketenangan hidup, misi tersembunyi Adi sebenarnya adalah untuk mendapatkan kepercayaan penduduk kampung, merampas tanah mereka, dan menyeludup semula Mojo ke Kuala Lumpur. Namun keadaan bertukar kucar-kacir apabila Adi tanpa disedari jatuh cinta pada gadis tempatan yang paling gigih menentang syarikatnya. Dengan rahsianya yang bakal terbongkar bila-bila masa, mampukah Adi menyelamatkan kerjayanya, atau sebaliknya menemui erti kehidupan sebenar di kampung tersebut?
Adi, seorang eksekutif korporat di Moo Magic Farms yang berjaya melonjakkan jualan syarikat menerusi seekor lembu tular bernama Mojo, terpaksa menyamar masuk ke Kampung Semerah Padi (KSP) selepas Mojo diculik oleh Atan, seorang peladang yang berkeras tidak mahu menjual tanahnya bagi menentang monopoli syarikat berkenaan. Namun, rancangan Adi untuk memujuk penduduk kampung berubah menjadi kekacauan apabila dia mula tertarik dengan ketenangan hidup di desa, malah turut jatuh hati pada anak Atan, Ayu. Kini, Adi terpaksa berhadapan dengan pilihan sukar — antara mengejar impian kerjayanya, atau menerima apa yang sebenarnya dia perlukan dalam hidup.

Posting Komentar