The Fox King (Semusim Lara)
Filem usahasama Malaysia–Indonesia yang mengangkat kisah persaudaraan, kecemburuan dan konflik remaja.
Filem drama The Fox King (Semusim Lara), hasil kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia, bakal menemui penonton di pawagam Malaysia mulai 17 September 2026. Naskhah arahan Woo Ming Jin ini dibintangi pelakon terkenal Indonesia, Dian Sastrowardoyo, bersama barisan pelakon Malaysia seperti Idan Aedan, Hadi Putra, Chew Kin Wah dan Amerul Affendi.
Menariknya, filem ini turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila pernah ditayangkan di dua festival filem berprestij, iaitu Toronto International Film Festival (TIFF) dan Busan International Film Festival (BIFF).
Maklumat Filem
Senarai Pelakon dan Watak
- Dian Sastrowardoyo Sebagai Lara
- Idan Aedan Sebagai Ali
- Hadi Putra Sebagai Amir
- Amerul Affendi Sebagai Budi
- Chew Kin Wah Sebagai Lonny
- Sara Mack Lubis Sebagai Erna
Sinopsis The Fox King (Semusim Lara)
Berlatarbelakangkan sebuah perkampungan nelayan, The Fox King (Semusim Lara) mengisahkan kehidupan dua beradik kembar tidak seiras, Ali dan Amir, yang memiliki hubungan persaudaraan yang amat erat sejak kecil. Kehilangan ibu dan sikap bapa mereka yang tidak bertanggungjawab menyebabkan Ali terpaksa memikul peranan sebagai pelindung kepada Amir. Adiknya itu merupakan seorang remaja yang bijak, namun menghadapi kesukaran untuk bertutur dan sering menjadi sasaran buli di sekolah.
Kehidupan mereka mula berubah dengan kemunculan Cikgu Lara, seorang guru Bahasa Inggeris baharu yang memiliki paras rupa menawan serta keperibadian yang memikat. Kehadiran Lara dan layanan yang diberikannya mencetuskan perasaan cemburu serta persaingan antara Ali dan Amir, yang sedang melalui fasa remaja.
Ikatan persaudaraan yang selama ini begitu kukuh akhirnya mula goyah apabila perasaan dan keinginan masing-masing menguji hubungan mereka. Mampukah Ali dan Amir mempertahankan kasih sayang sebagai adik-beradik apabila hubungan mereka mula dibayangi persaingan dan kecemburuan?
Posting Komentar